Playback speed:
Terdapat banyak perubahan yang datang seiring dengan hidup berdikari dengan demensia.
Jika anda tinggal sendirian dan kini hidup dengan demensia peringkat awal atau gangguan kognitif ringan (MCI), berikut adalah beberapa tip untuk menangani perubahan-perubahan agar anda dapat kekal berdikari selama mungkin.
Jadikan Tugas Harian Lebih Mudah
Punyai rutin harian yang tetap
Lakarkan rutin tetap, yang memudahkan anda mengingati apa yang perlu dilakukan dalam sehari. Anda boleh pertimbangkan jenis aktiviti yang berbeza pada hari-hari tertentu, seperti berjumpa dengan orang tersayang dan keluar bersiar-siar. Aktiviti-aktiviti ini akan membantu menjadikan hari-hari anda lebih bermakna dan menarik, dan mengelakkannya daripada menjadi kosong atau membosankan.
Susun hari anda
Letakkan kalendar atau buku nota di tempat yang anda boleh lihat dengan kerap seperti di pintu peti sejuk anda. Anda boleh menggunakan kalendar ini untuk menjejak:
• Senarai tugasan untuk hari tersebut
• Janji temu, seperti janji temu perubatan, berjumpa keluarga dan rakan anda, dsb.
• Pangkahkan tugas dan janji temu di kalendar setelah anda menyelesaikannya. Di akhir setiap hari, pangkah tarikh di kalendar anda, kerana ini membantu anda memastikan tarikh apabila anda bangun keesokan harinya..
• Anda juga boleh menyimpan diari untuk mencatat aktiviti harian anda. .
• Anda boleh menulis beberapa ayat, lekatkan foto dan memo (resit makanan, senarai barangan dapur dan resit, tiket wayang, dsb.) untuk menunjukkan apa yang telah anda lakukan. Anda juga boleh menulis tentang perasaan anda untuk hari itu.
• Dari masa ke masa, anda boleh melihat kembali diari ini untuk mengingatkan anda apa yang anda lakukan atau rasakan sebelum itu.
Gunakan label dan nota
Anda boleh lekatkan label pada almari anda untuk mengingatkan anda tentang barang-barang yang disimpan di dalamnya. Anda juga boleh lekatkan nota di pintu utama untuk mengingatkan anda agar membawa kunci dan dompet apabila anda keluar rumah.
Cara mengingat untuk membayar bil
Untuk mengelakkan terlupa membayar bil, cuba pertimbangkan aturan GIRO untuk membayar bil daripada organisasi pengebilan anda (penyedia utiliti, syarikat telekomunikasi, syarikat insurans, dsb.). Anda boleh memohon aturan GIRO melalui Perbankan Internet atau dengan menghubungi organisasi pengebilan untuk borang permohonan GIRO mereka.
Jika anda bimbang anda mungkin terlupa tentang akaun bank dan arahan tetap GIRO, anda boleh meminta orang yang dipercayai untuk mengingatkan anda tentangnya sekali-sekala.
• Anda boleh menulis nombor hotline bank di tempat yang biasa anda lihat setiap hari sekiranya anda perlu menghubungi bank.
• Sebagai alternatif, anda boleh meminta seseorang yang anda percayai untuk membantu anda membayarkan bil anda. Orang ini juga boleh membantu menyemak penyata kewangan anda dan memaklumkan anda tentang sebarang aktiviti ganjil.
Cara mengurus ubat-ubat
Terdapat beberapa produk yang anda boleh gunakan untuk membantu anda mengatur dan menjadualkan dos ubat. Produk ini termasuk kotak pil mingguan dan kotak pil elektronik dengan jam penggera. Anda boleh membeli kotak ini di farmasi atau kedai dalam talian. Sebagai alternatif, anda boleh membuat peringatan di telefon atau komputer anda untuk mengambil ubat anda.
Pastikan Rumah Anda Selamat
Membuat ubah suai kecil pada rumah anda boleh membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan mudah untuk anda terus hidup berdikari dengan demensia. Sebagai contoh:
Wujudkan lebih banyak ruang terbuka
Buang barang-barang yang tidak digunakan seperti pakaian, peralatan dan perabot yang mengambil ruang di rumah anda. Laluan ke tempat biasa, seperti koridor yang menghala ke dapur dan bilik mandi anda harus terang dan bebas daripada halangan.
Alihkan barang-barang untuk mengurangkan risiko terjatuh
Alihkan atau pakukan permaidani dan hamparan untuk mengelak daripada tergelincir. Tanggalkan atau pastikan kabel dan wayar elektrik diikat (di dinding atau di sudut) jauh dari laluan berjalan untuk mengurangkan kemungkinan tersandung. Terjatuh boleh menyebabkan kecederaan dan ketidakupayaan serta menjadikan hidup bersendirian menyukarkan atau mencabar.
Perbaiki pencahayaan
Pasang lampu malam di ruang tamu, bilik tidur, tandas, dan/atau di sepanjang laluan berjalan. Pencahayaan yang mencukupi boleh membantu anda melihat dengan lebih baik dan bergerak dengan selamat pada waktu malam. Menjadikan suis lampu lebih mudah dicari dengan melekatkan pita bercahaya dalam gelap adalah sesuatu yang murah dan berguna untuk anda lakukan.
Gunakan dapur memasak yang padam secara automatik
Gantikan dapur gas dengan hob dapur gas yang dikawal masa dengan pemasa digital yang memotong bekalan gas secara automatik selepas masa yang telah ditetapkan tamat. Baca artikel berita oleh Straits Times tentang hob dapur gas dengan ciri-ciri keselamatan.
Amat berbahaya sekiranya anda terlupa mematikan dapur gas anda dan membiarkannya hidup. Jika dapur gas mengeluarkan terlalu banyak gas mudah terbakar ke persekitaran selepas ia dibiarkan hidup, percikan api boleh menyalakan gas dan menyebabkan kebakaran di dalam rumah.
Sebagai alternatif, pertimbangkan untuk menggunakan dapur elektrik atau dapur aruhan (induction cooker) yang padam secara automatik apabila ia tidak mengesan periuk dan kuali di permukaannya.
Pasang Alat Penggera Kebakaran Rumah (HFAD)
Anda juga boleh memasang Alat Penggera Kebakaran Rumah (HFAD) jika rumah anda tiada alat ini. HFAD dapat mengesan kebakaran yang baru bermula atau asap putih dari masakan yang tidak diawasi atau kebakaran elektrik di dalam rumah, dan membunyikan penggera untuk memberi amaran kepada penghuni. Apabila seseorang mendapat amaran tentang kebakaran di dalam rumah, dia boleh menangani kebakaran kecil tersebut atau menghubungi 995 dan melarikan diri. Ketahui lebih lanjut tentang HFAD.
Cari senarai peruncit yang menyediakan HFAD di laman web SCDF.
.
Pasang alat keselamatan lain
Alat keselamatan lain yang anda mungkin ingin pertimbangkan termasuk penjejak GPS, butang amaran kecemasan dan monitor untuk mengesan jika seseorang terjatuh. Minta keluarga atau rakan untuk membantu anda belikan alat yang betul dan pasangkan untuk anda.
Panduan Reka Bentuk Rumah HDB Mesra Demensia Realiti Maya 360°
Layari Panduan Reka Bentuk Rumah HDB Mesra Demensia Realiti Maya 360° terkini untuk mengetahui cara terbaik mengubah suai rumah anda berdasarkan keperluan dan pilihan anda untuk terus hidup berdikari dengan demensia.
Bawa Kad Keahlian CARA Anda
Kad keahlian CARA berguna sekiranya anda tersesat atau memerlukan bantuan. Ia menggantikan Kad Pulang dengan Selamat Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) sebelum ini, yang kini dilengkapi dengan ciri-ciri yang dipertingkatkan. Kad keahlian CARA mengandungi kod QR unik untuk individu yang hidup dengan demensia yang berdaftar. Sekiranya anda sesat, orang ramai boleh mengimbas kod QR ini untuk membuat makluman melalui penyerahan borang. Setelah borang diserahkan, keluarga atau rakan anda yang dihubungkan ke akaun anda akan dimaklumkan dan boleh membantu anda untuk pulang dengan selamat.
Ketahui lebih lanjut tentang CARA.
Bina Sistem Sokongan Anda
Kenal pasti orang yang boleh anda percayai
Kenal pasti keluarga dan rakan-rakan yang boleh anda percayai dan jadikan mereka sebagai kenalan kecemasan anda. Tulis nombor telefon mereka pada sekeping kertas dan lekatkannya di sebelah telefon rumah anda atau simpan nombor mereka dalam telefon bimbit anda. Anda juga boleh isikan nombor mereka ke dalam kenalan dail pantas anda.
Pertimbangkan untuk berkongsi diagnosis anda dengan jiran-jiran yang boleh anda percayai
Jiran yang baik boleh menjadi seperti keluarga, dan mereka adalah orang yang tinggal paling dekat dengan anda. Jika mereka tahu tentang diagnosis demensia anda, mereka boleh memantau dan membantu apabila anda kelihatan seperti sedang sesat atau memerlukan bantuan.
Hadiri janji temu perubatan anda yang telah dijadualkan
Jangan lepaskan janji temu perubatan dengan doktor yang mengawasi penjagaan untuk keadaan demensia anda.
• Doktor anda boleh menjejak perubahan yang berkait dengan demensia anda, dan melakarkan serta menjejak pelan penjagaan yang terbaik untuk anda.
• Doktor anda juga boleh memberikan cadangan jika anda memerlukan khidmat penjagaan tambahan (seperti khidmat pengurusan ubat, khidmat pengiring perubatan, bantuan dengan kegiatan kehidupan harian), atau jika menyertai beberapa program dalam masyarakat boleh memberikan manfaat kepada anda.
Sertai kumpulan sokongan
Demensia Singapura mempunyai pelbagai perkhidmatan dan program untuk orang yang hidup dengan demensia. Anda boleh menghubungi talian bantuan Demensia Singapura di 6377 0700 atau layari laman web untuk mengetahui lebih lanjut. Berhubungan dengan individu yang mempunyai cara pemikiran yang sama dan mendapatkan sokongan emosi dan sosial daripada mereka boleh memberi anda kekuatan kerana anda tahu bahawa anda tidak bersendirian dalam perjalanan demensia anda.
Pastikan Minda & Tubuh Anda Sihat
Hidup berdikari dengan demensia juga termasuk mengamalkan gaya hidup sihat. Kekal aktif secara fizikal, pemakanan yang sihat dan seimbang, tidur yang mencukupi, dan menyertai kegiatan sosial telah terbukti dapat membantu memperlahankan perkembangan demensia.
- Senaman fizikal
- Resipi makanan yang sihat
- Tidur lena – Cuba dapatkan sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam tidur setiap malam.
- Kegiatan sosial – Teruskan berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan anda, kunjungi dan bersembang dengan mereka secara kerap. Anda juga boleh menyertai program di Demensia Singapura.
Apabila demensia anda berkembang ke peringkat sederhana dan lanjut, aturan tempat tinggal alternatif perlu dibuat kerana ia mungkin tidak lagi selamat untuk anda hidup berdikari.
Penting untuk menyertakan orang tersayang anda (keluarga dan/atau rakan) dalam perbincangan mengenai aturan tempat tinggal alternatif ini agar mereka memahami cara penjagaan pilihan anda. Secara ideal, anda harus memulakan perbincangan ini seawal mungkin dalam perjalanan demensia anda. Ketahui lebih lanjut tentang apa yang boleh anda bincangkan dengan orang tersayang anda di sini: Sokongan Kewangan dan Undang-undang
Sumber Berkaitan
Kalendar yang Jelas untuk Orang yang Hidup dengan Demensia
Kalendar ini dihasilkan untuk memperkasakan orang yang hidup dengan demensia untuk memudahkan mereka mengetahui tarikh/hari dalam minggu tersebut dan acara-acara khas yang lain, dan kekal berdikari menjaga diri sendiri dengan menjejak tugas mereka, termasuk kegiatan kehidupan harian, mengambil ubat dan janji temu. Tonton video ini untuk panduan langkah demi langkah tentang cara memasang kalendar.
Tell us how we can improve?
Baca Seterusnya
- National Institute on Aging. (2019, November 12). Tips for living alone with early-stage dementia. https://www.nia.nih.gov/health/tips-living-alone-early-stage-dementia
- Alzheimer’s Society. (n.d.). Staying independent. https://www.alzheimers.org.uk/get-support/staying-independent
- Alzheimer’s Society. (2017). The memory handbook: A practical guide to living with memory problems. https://www.alzheimers.org.uk/sites/default/files/pdf/the_memory_handbook.pdf