Playback speed:
Terdapat banyak mitos berkenaan demensia. Berikut adalah beberapa mitos lazim yang sering memburukkan lagi stigma mengenai demensia dan meneruskan stereotaip negatif terhadap demensia.
Tanggapan Salah: Demensia adalah sebahagian daripada penuaan semula jadi.
Demensia adalah penyakit yang menjejas otak dan bukan sebahagian daripada penuaan semula jadi.
Ia adalah keadaan yang menjejas otak, yang membawa kepada hilang ingatan progresif, penurunan keupayaan kognitif, dan perubahan personaliti.
Dalam penuaan biasa, seseorang mungkin:
- Masih mampu meneruskan kegiatan harian dan berdikari, meskipun sesekali terlupa.
- Memerlukan sedikit masa untuk mengingat arah dan / atau berjalan di tempat baru.
- Masih mampu membuat pertimbangan dan keputusan.
- Mampu mengingati dan menerangkan peristiwa penting.
- Sukar mencari perkataan yang sesuai untuk berkomunikasi tetapi tiada masalah dalam perbualan.
Tanggapan Salah: Demensia adalah sama seperti Penyakit Alzheimer.
Terdapat jenis-jenis demensia yang berbeza, setiap satu dengan punca dan simptom yang berbeza. Perubahan dalam otak merupakan punca lazim bagi semua jenis demensia.
Punca-punca demensia termasuk: Punca-punca yang tidak dapat dipulihkan seperti Penyakit Alzheimer, Demensia Vaskular, Angin Ahmar, Penyakit Parkinson, keadaan Lewy Body, dan punca demensia frontotemporal; dan punca-punca yang berpotensi untuk dipulihkan seperti Hipotiroidisme, Kekurangan Vitamin B12, dan sindrom berkaitan Alkohol.
Tanggapan Salah: Hilang ingatan bermakna seseorang itu hidup dengan demensia.
Kadang-kala terlupa dan perlahan dalam memproses maklumat, seperti sewaktu mencari perkataan yang sesuai, berlaku dalam penuaan.
Tanggapan Salah: Orang yang hidup dengan demensia hanya mengalami hilang ingatan.
Hilang ingatan (pelupa) adalah salah satu simptom yang dialami oleh orang yang hidup dengan demensia. Ia bukanlah satu-satunya simptom.
Simptom lazim bagi jenis demensia yang berbeza termasuk:
- Hilang ingatan (pelupa) yang berlaku secara beransur-ansur, dan menjadi lebih serius secara progresif sambil masa berlalu. Hilang ingatan serta-merta dan jangka pendek berlaku terlebih dahulu.
- Kesukaran berkomunikasi.
- Sukar mengecam wajah atau barang yang biasanya dikenali.
- Keupayaan menyelesaikan masalah biasa, membuat keputusan dan pertimbangan menjadi lebih teruk dan diri menjadi lebih tidak teratur.
- Masalah dengan kegiatan harian seperti membutang baju, berpakaian dan menggunakan peralatan (seperti sudu atau garpu) sewaktu makan.
Kadang-kala, simptom tingkah laku dan psikologi lain juga mungkin berlaku:
- Kemurungan
- Cemas atau marah
- Halusinasi
- Kegelisahan
- Paranoia
- Masalah tidur
Tanggapan Salah: Demensia hanya menjejas orang yang lebih berusia.
Demensia juga boleh terjadi kepada orang yang lebih muda. Demensia di kalangan orang di bawah umur 65 tahun dikenali sebagai demensia permulaan muda.
Terdapat peningkatan trend dalam kes demensia permulaan muda di Singapura, seperti di beberapa negara lain. Ini mungkin kerana beberapa sebab, termasuk kesedaran yang lebih tinggi tentang keadaan ini dan kaedah pemeriksaan yang lebih baik.
Dua punca utama demensia permulaan muda pada masa ini adalah penyakit Alzheimer, yang merupakan punca paling lazim, dan demensia vaskular.
Demensia vaskular, di mana beberapa angin ahmar kecil berlaku di dalam otak, berkait dengan penyakit gaya hidup seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi. Peningkatan trend dalam penyakit gaya hidup mungkin menyumbang kepada peningkatan kadar diagnosis demensia pada orang yang lebih muda.
Bagaimana demensia terlihat pada orang dewasa yang lebih muda mungkin berbeza berbanding bagaimana ianya terlihat pada orang dewasa yang lebih berusia. Orang lebih muda yang hidup dengan demensia biasanya mengalami lebih banyak masalah dengan bahasa, menyelesaikan masalah, merancang, dan mengenali objek. Mereka juga mungkin menunjukkan lebih banyak perubahan tingkah laku.1,2
Tanggapan Salah: Demensia boleh dicegah sepenuhnya.
Demensia tidak boleh dicegah sepenuhnya secara pasti.3 Bagaimanapun, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko demensia.
Beberapa faktor risiko demensia, seperti umur, gen, atau tahap pencapaian pendidikan, adalah sukar atau mustahil untuk diubah.
Bagaimanapun, yang berikut boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko demensia, atau melambatkan permulaan demensia:
- Kekal aktif secara fizikal dan bersenam secara kerap
- Mengekalkan tekanan darah pada tahap yang sihat
- Pantau glukos dalam darah jika anda mengalami kencing manis
- Makan makanan yang seimbang
- Berhenti merokok
- Jalani pemeriksaan kesihatan secara kerap
- Elakkan pengambilan alkohol yang tinggi
- Libatkan diri dalam kegiatan sosial
Tanggapan Salah: Kehidupan sudah berakhir bagi seseorang dan orang-orang di sekeliling mereka apabila mereka hidup dengan demensia.
Hidup dengan demensia bukanlah satu hukuman mati. Seseorang yang hidup dengan demensia masih boleh menyesuaikan diri untuk hidup dengan keadaan mereka dan masih boleh menjalani kehidupan yang bermakna.
Orang yang hidup dengan demensia dan orang-orang di sekeliling mereka masih boleh mengalami pertumbuhan peribadi dan perhubungan, serta menikmati pengalaman yang bermakna meskipun dalam kesedihan dan kehilangan yang berlaku dengan meningkatnya tahap demensia mereka.
Oleh kerana demensia berkembang secara progresif, dan kehilangan keupayaan tidak berlaku secara serentak, orang yang hidup dengan demensia masih mampu melakukan perkara-perkara yang biasa mereka lakukan untuk beberapa waktu.
Bergantung pada di mana mereka tinggal, mungkin terdapat sokongan bagi orang yang hidup dengan demensia untuk terus terlibat dalam kehidupan sosial yang bermakna. Sebagai contoh, di Singapura, terdapat kesedaran yang semakin meningkat mengenai demensia. Terdapat juga inisiatif-inisiatif yang inklusif demensia yang dijalankan oleh pelbagai sektor dan rakan kerjasama dalam masyarakat untuk mereka bentuk persekitaran yang membolehkan orang yang hidup dengan demensia dan penjaga mereka menyertai kehidupan bermasyarakat.
Ketahui lebih lanjut tentang Persekitaran Inklusif Demensia.
Tanggapan Salah: Tiada guna merawat demensia kerana ianya tiada penawar.
Walaupun tiada penawar untuk demensia, terdapat kaedah farmakologi dan psikososial untuk mengurus keadaan orang yang hidup dengan demensia.
- Punca-punca yang boleh dipulihkan dan faktor-faktor risiko boleh dirawat.
- Ubat-ubat untuk melambatkan perkembangan demensia boleh diambil.
- Simptom Tingkah Laku dan Psikologi Demensia (BPSD) boleh diurus melalui langkah-langkah tanpa ubat dan dengan ubat-ubat.
Tanggapan Salah: Orang yang hidup dengan demensia tidak mampu membuat keputusan, melakukan sesuatu perkara, berkomunikasi, atau tidak sedar akan persekitaran mereka.
Demensia berkembang secara beransur-ansur. Semasa peringkat awal, orang yang hidup dengan demensia masih berupaya sedikit untuk membuat keputusan, melakukan perkara yang berbeza, berkomunikasi, dan sedar tentang diri sendiri dan persekitaran mereka. Walaupun semasa peringkat demensia lanjut, orang yang hidup dengan demensia masih mempunyai pilihan, keupayaan, cara untuk berkomunikasi dan kesedaran, yang diluahkan dengan cara mereka sendiri.
Tanggapan Salah: Demensia bersifat turun-temurun.
Sesuatu itu bersifat turun-temurun jika ia diturunkan dari ibu bapa kepada anak melalui gen. Dalam kebanyakan kes, demensia tidak sekadar diwarisi.
- Pertama, perkembangan demensia berlaku hasil gabungan faktor genetik dan persekitaran. Faktor-faktor ini bekerjasama untuk meningkatkan atau mengurangkan risiko seseorang hidup dengan demensia. Seseorang yang mempunyai ibu bapa atau saudara kandung yang hidup dengan demensia tidak semestinya akan ada demensia. Bagaimanapun, risiko untuk orang ini hidup dengan demensia akan meningkat.
- Kedua, jenis demensia yang dialami ibu bapa atau saudara kandung akan menjejas risiko seseorang yang hidup dengan demensia. Sesetengah jenis demensia, seperti demensia frontotemporal, mempunyai hubungan genetik yang lebih kuat berbanding jenis demensia yang lain.
Tonton hos radio ONE FM 91.3 berbual dengan Ketua Pegawai Eksekutif Demensia Singapura, Jason Foo, mengenai beberapa mitos tentang demensia.
Video ini disampaikan dalam bahasa Inggeris.
Tell us how we can improve?
- Gan, E. (2017, June 14). Dementia affecting more people under the age of 65. TODAYOnline. https://www.todayonline.com/singapore/dementia-affecting-more-people-under-age-65
- Teo, J. (2020, 21 June). More here diagnosed with young onset dementia, says NNI. SingHealth. https://www.singhealth.com.sg/news/tomorrows-medicine/more-here-diagnosed-with-young-onset-dementia-says-nni
- National Health Service. (n.d.). Can dementia be prevented? Retrieved 4 March, 2021, from https://www.nhs.uk/conditions/dementia/dementia-prevention/