Playback speed:
Demensia bukanlah satu penyakit sahaja tetapi sekumpulan beberapa simptom. Terdapat jenis-jenis demensia yang berbeza yang terjadi disebabkan oleh perubahan yang berbeza di dalam otak.
Penyakit Alzheimer (AD)
Penyakit Alzheimer adalah jenis demensia paling lazim. Ia disebabkan oleh pembentukan jenis protein tertentu di dalam dan di sekeliling sel otak. Ia mempunyai permulaan yang perlahan tetapi berbahaya dan merupakan penyakit progresif di mana simptom menjadi serius secara beransur-ansur sepanjang beberapa tahun. AD tidak dapat dipulihkan, perlahan-lahan merosakkan daya ingatan dan kemahiran berfikir, dan akhirnya boleh menjejas keupayaan untuk menjalankan tugas mudah seperti makan. Pada masa ini, tiada penawar untuk penyakit ini tetapi rawatan boleh membantu mengurus simptom AD.
Demensia Vaskular
Demensia Vaskular adalah sejenis demensia yang disebabkan oleh penyakit atau kecederaan pada saluran darah dalam otak, kebanyakannya dalam bentuk angin ahmar. Permulaan demensia jenis ini mungkin mendadak, dan simptom bergantung kepada lokasi dan impak angin ahmar. Seseorang yang hidup dengan demensia vaskular juga boleh menunjukkan tanda-tanda strok yang berlaku tanpa diketahui pada imbasan otak. Walaupun demensia vaskular tidak boleh dipulihkan, adalah penting untuk merawat faktor risikonya. Mengawal faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi, dan merokok boleh melambatkan perkembangan penyakit ini dan mengurangkan risiko angin ahmar berulang.
Demensia Lewy Body (LBD)
Demensia Lewy Body adalah sejenis demensia yang terjadi apabila terdapat penumpukan struktur yang tidak normal yang dipanggil Lewy Body di dalam sel-sel otak. Ini menyebabkan perubahan dalam pergerakan, pemikiran dan tingkah laku. Simptom pergerakan LBD sarupa dengan simptom penyakit Parkinson – ini termasuk pergerakan yang perlahan, terketar-ketar dan otot kaku. Simptom lain yang ketara termasuk masalah dengan perhatian, perancangan dan penganjuran aktiviti dan halusinasi visual yang jelas. Orang yang hidup dengan LBD lebih berisiko untuk jatuh disebabkan keadaan mereka yang semakin kaku, tidak stabil dan pergerakan yang perlahan.1
Demensia Frontotemporal (FTD)
Demensia frontotemporal adalah sejenis demensia di mana perubahan personaliti adalah ketara dan dalam sesetengah kes, kesukaran bahasa. Ia disebabkan oleh kerosakan progresif pada bahagian depan dan/atau temporal otak. FTD boleh menyebabkan keupayaan intelektual berkurangan dan perubahan pada personaliti, emosi dan tingkah laku, yang berkait dengan fungsi lobus frontal otak. FTD juga boleh menyebabkan kesukaran untuk mengenali objek, pemahaman, atau ekspresi bahasa, yang berkait dengan fungsi lobus temporal otak.
FTD sering disalah anggap sebagai penyakit Alzheimer, Parkinson atau gangguan psikiatri seperti kemurungan, gangguan obsesif-kompulsif atau skizofrenia. Walaupun tiada rawatan atau penawar untuk FTD, tetapi ubat-ubat dan perubahan gaya hidup dapat membantu melegakan simptom-simptomnya. FTD sering terjadi pada usia yang lebih muda, sekitar 45-65 tahun. Apabila seseorang menghidap demensia pada usia yang lebih muda daripada 65 tahun, mereka dikatakan mengalami demensia permulaan muda.
Demensia Berkaitan Alkohol
Demensia berkaitan alkohol adalah gangguan kognitif yang disebabkan oleh kerosakan otak yang berkaitan dengan alkohol. Beberapa bahagian otak mungkin rosak kerana kekurangan vitamin, terutamanya kekurangan vitamin B-1 yang teruk, kerana alkohol menghalang penyerapan dan penggunaan vitamin ini. Faktor risiko bagi demensia berkaitan alkohol adalah minum alkohol dalam jumlah yang tinggi secara kerap.2
Tell us how we can improve?
Sumber Tambahan
Dalam episod pertama Demensia Singapura pada tahun 60an, Ketua Pegawai Eksekutif Jason Foo berkongsi beberapa fakta dan angka penting mengenai demensia dan menghuraikan jawapan kepada soalan-soalan ini.
Video ini disampaikan dalam Bahasa Inggeris.
Memahami Demensia
Sumber: Hospital Khoo Teck Puat
Kit alat ini memberikan maklumat tentang jenis, peringkat dan simptom demensia. Ia juga mengandungi maklumat tentang falsafah penjagaan berpusatkan individu, yang diakui secara meluas sebagai standard penjagaan demensia hari ini.
Sumber ini hanya tersedia dalam Bahasa Inggeris.
- Dementia Australia. (n.d.). Lewy Body Disease. https://www.dementia.org.au/about-dementia/types-of-dementia/lewy-body-disease
- Dementia Australia. (n.d.). Alcohol related dementia. https://www.dementia.org.au/about-dementia/types-of-dementia/alcohol-related-dementia